Indah sungguh lirik lagu ini menyentuh jiwaku. Keletihan petang ini setelah ke hulu ke hilir melawat tapak-tapak kawasan melombong, terubat juga sedikit sebanyak sambil minum berehat sebentar di kedai mamak ini. Tetiba-tiba fikiranku teringat akan isteri dan anak-anak ku, sekarang ini aku tidak lagi mampu meluangkan masa yang lebih kepada mereka kerana mengejar cita-cita bukan untuk ku tetapi untuk mereka juga.
Moga segala usaha dan penat jerih aku ini diredhoi Allah dan aku menerima limpah kurnianya. Hanya usaha dan sabar sekarang ini menjadi kekuatanku. Masalah demi masalah mematangkan ku di dalam bidang ini. Bidang baru yang lari jauh daripada kepakaranku sebelum ini, namun amat menarik minatku.
Wahai isteriku dan anak-anakku, ketahuilah aku memilih jalan ini kerana kamu semua. Aku tahu aku semakin tua dan entah esok lusa nyawaku akan diambil Penciptaku, maka bidang lama ku tidak dapat menjanjikan warisan kepada kamu semua, ianya semata-semata atas kepakaranku sendiri. Anak-anak ku terlalu kecil untuk mewarisi semua sebelum aku tutup mataku. Masa ku terlalu singkat dan terhad untuk kamu mengikut langkah ku mengambilalih apa yang telah aku bina.
Wahai isteri dan anak-anakku, ketahuilah maka oleh kerana itu, aku usahakan perniagaan ini walau banyak yang perlu dilakukan untuk kamu semua warisi setelah aku tiada kelak. Moga niatku ini akan diredhoi Allah dan kalian boleh menyambutnya kelak.
Wahai isteri dan anak-anakku, aku lakukan semua ini walau penat lelah membuang ego dan status ku kerana aku telah muak dengan masalah dunia dan manusia, aku muak selama 14 tahun mendengar masalah manusia yang dibuat-buat akibat nafsu, tamak haloba, benci dan segala arahan syaitan. Aku mahu lebih tenang mencari rezeki demi kamu semua dan aku mahu lebih masa bersama kalian. Aku mahu melihat dengan mata dan kepalaku sendiri kalian membesar di hadapanku. Aku mahu menjadi milik kalian bukannya milik anakguam-anakguamku.
Namun bersabarlah untuk mencapai matlamat itu sekarang kita semua perlu berkorban dan bersabar dengan sebenar-benar sabar. Aku tahu apa yang berlaku sekarang tidak mencapai matlamatku dan sama sekali lebih teruk daripada keadaan kita dahulu. Namun itu semua sementara, sementara ujian Allah ini aku selesaikan semampuku. Doakan aku untuk melepasi segala ujian ini dengan baik dan habuannya adalah apa yang aku cita-citakan, insyaAllah.
Fahamilah aku tidak meminta sesuatupun daripada kalian hanya sabar dan doa kalian membantuku dalam usaha ini. Kalian adalah yang paling dekat dengan ku, kalian adalah sahabatku, kalian adalah nyawa dan jiwaku. Semampu dan sebisaku aku akan menjaga kalian walau aku tahu kalian manusia yang melakukan kesilapan adakalanya mengores hatiku ini.
Terpulanglah kepada kalian untuk menghukumku jika tindakan aku ini membuat kalian susah dan sensara. Terpulanglah kepada kalian untuk menghinaku jika tindakan aku ini membuat kalian terasing dan tersiksa. Fahamilah aku redho kerana niat ku hanya mahu mencapai dua matlamat yang aku sebut tadi. Demi Allah tuhan yang menguasai diriku, takdirku, dan ketentuan qadarnya, aku berserah diri kepadaNya dalam usahaku ini. Berdoa dan bersabarlah demi sedikit masa lagi, kerana apa hambaNya bertanya bilakah pertolongan Allah itu akan sampai, maka jawablah, pertolongan Allah itu dekat…
No comments:
Post a Comment