Tuesday, March 18, 2014

Aku Akan Menjagamu, Semampu dan Sebisaku…

Indah sungguh lirik lagu ini menyentuh jiwaku. Keletihan petang ini setelah ke hulu ke hilir melawat tapak-tapak kawasan melombong, terubat juga sedikit sebanyak sambil minum berehat sebentar di  kedai mamak ini. Tetiba-tiba fikiranku teringat akan isteri dan anak-anak ku, sekarang ini aku tidak lagi mampu meluangkan masa yang lebih kepada mereka kerana mengejar cita-cita bukan untuk ku tetapi untuk mereka juga.

Moga segala usaha dan penat jerih aku ini diredhoi Allah dan aku menerima limpah kurnianya. Hanya usaha dan sabar sekarang ini menjadi kekuatanku. Masalah demi masalah mematangkan ku di dalam bidang ini. Bidang baru yang lari jauh daripada kepakaranku sebelum ini, namun amat menarik minatku.

Wahai isteriku dan anak-anakku, ketahuilah aku memilih jalan ini kerana kamu semua. Aku tahu aku semakin tua dan entah esok lusa nyawaku akan diambil Penciptaku, maka bidang lama ku tidak dapat menjanjikan warisan kepada kamu semua, ianya semata-semata atas kepakaranku sendiri. Anak-anak ku terlalu kecil untuk mewarisi semua sebelum aku tutup mataku. Masa ku terlalu singkat dan terhad untuk kamu mengikut langkah ku mengambilalih apa yang telah aku bina. 

Wahai isteri dan anak-anakku, ketahuilah maka oleh kerana itu, aku usahakan perniagaan ini walau banyak yang perlu dilakukan untuk kamu semua warisi setelah aku tiada kelak. Moga niatku ini akan diredhoi Allah dan kalian boleh menyambutnya kelak.

Wahai isteri dan anak-anakku, aku lakukan semua ini walau penat lelah membuang ego dan status ku kerana aku telah muak dengan masalah dunia dan manusia, aku muak selama 14 tahun mendengar masalah manusia yang dibuat-buat akibat nafsu, tamak haloba, benci dan segala arahan syaitan. Aku mahu lebih tenang mencari rezeki demi kamu semua dan aku mahu lebih masa bersama kalian. Aku mahu melihat dengan mata dan kepalaku sendiri kalian membesar di hadapanku. Aku mahu menjadi milik kalian bukannya milik anakguam-anakguamku.

Namun bersabarlah untuk mencapai matlamat itu sekarang kita semua perlu berkorban dan bersabar dengan sebenar-benar sabar. Aku tahu apa yang berlaku sekarang tidak mencapai matlamatku dan sama sekali lebih teruk daripada keadaan kita dahulu. Namun itu semua sementara, sementara ujian Allah ini aku selesaikan semampuku. Doakan aku untuk melepasi segala ujian ini dengan baik dan habuannya adalah apa yang aku cita-citakan, insyaAllah.

Fahamilah aku tidak meminta sesuatupun daripada kalian hanya sabar dan doa kalian membantuku dalam usaha ini. Kalian adalah yang paling dekat dengan ku, kalian adalah sahabatku, kalian adalah nyawa dan jiwaku. Semampu dan sebisaku aku akan menjaga kalian walau aku tahu kalian manusia yang melakukan kesilapan adakalanya mengores hatiku ini. 


Terpulanglah kepada kalian untuk menghukumku jika tindakan aku ini membuat kalian susah dan sensara. Terpulanglah kepada kalian untuk menghinaku jika tindakan aku ini membuat kalian terasing dan tersiksa. Fahamilah aku redho kerana niat ku hanya mahu mencapai dua matlamat yang aku sebut tadi. Demi Allah tuhan yang menguasai diriku, takdirku, dan ketentuan qadarnya, aku berserah diri kepadaNya dalam usahaku ini. Berdoa dan bersabarlah demi sedikit masa lagi, kerana apa hambaNya bertanya bilakah pertolongan Allah itu akan sampai, maka jawablah, pertolongan Allah itu dekat…

Monday, March 17, 2014

Nazarku..

3 tahun lebih selepas perkahwinan keduaku, isteriku sudah mula berhajat menimang cahaya mata selepas beberapa tahun perkahwinan kami. Naluri seorang perempuan dan isteri tidak dapat dinafikan lambat laun keinginan untuk menimang cahaya mata semakin membuak-buak. Maka bermulah episod bercakap-cakap soal anak dan keibubapaan. Bermulalah sembang-sembang tentang sunyi tanpa anak dan sebagainya. Jangan salah faham, semuanya adalah biasa dan asam garam rumahtangga. Semua itu adalah kemanisan berumahtangga. Ya aku akui tanpa cahaya mata sebuah perkahwinan akan menjadi suram. Malahan matlamat asas sebuah perkahwinan adalah untuk meneruskan kelangsungan keturunan.

Setelah mencuba dan mencuba namun masih belum ada tanda-tanda isteriku mengandung, kami masih bersabar. Tidak pula kami sampai membuat pemeriksaan kesihatan atau sebagainya. Bagiku, urusan mencipta makhluk (anak) adalah urusan Sang Pecipta kita ini hanya makhluk. Itulah yang aku sentiasa pujuk isteriku.

Dalam pada itu, aku masih terlalu sibuk dengan urusan kerjaku dan tambahan pula aku bergiat aktivif dalam sebuah persatuan. Bukan hanya ahli biasa malahan akulah yang menubuhkan persatuan tersebut. Boleh dibayankan kesibukkan diriku pada masa itu. Isteriku pula tidak bekerja dan oleh kerana itu dia kesunyian dan membantuku di pejabat. Ada masa, dia juga bersama-samaku aktif bergaul dengan ahli-ahli persatuan.

Ah bercakap tentang persatuan, ianya amat manis, pengalaman yang indah, kenalan yang ramai sehingga keseluruh pelusuk Malaysia malahan negara jiran. Isteruku juga bergaul dengan mereka dengan baik sekali sehingga dia mempuyai kawan rapat seorang  isteri pemimpin utama persatuan aku itu. Aku biarkan sahaja malahan bergembira kerana dia mempunyai kawan. Aku tahu dia tidak banyak kawan tentunya dia akan cepat sunyi dek kerana kesibukan kerjaku dan aktiviti persatuanku.

Berbalik kepada cerita anak tadi, setelah berbulan-bulan naluri ibu bermain-main dibenak isteriku, tanda-tanda masih belum ada. Masih ada ketentuan ilahi. Rupa-rupanya dibelakangku, isteriku telah bercakap-cakap dengan kawannya di dalam persatuan tadi, maka perbagailah nasihat diberikan. Salah satu nasihat yang aku tertarik ialah kawannya memberikan sebuah buku yang mana di dalamnya terkandung ayat-ayat, doa-doa dan zikir-zikir bagi mendapatkan cahaya mata. Maka beramallah isteriku dengan ayat-ayat dan zikir-zikir itu, entah berapa lama aku sendiri tidak pasti. Mungkin sebab terlalu inginkan anak, dia tidak berhenti berusaha. 

Aku masih dengan kesibukkanku, bukan tidak mahu bersama-samanya dalam berusaha tetapi aku tidak dapat terlalu menunjukkan keinginanku takut nanti dia akan lebih sedih dan tidak tenteram. Seperti biasa ada masa lapang aku suka membaca alquran dengan tafsirnya. Aku berniat untuk menghabiskan tafsir alquran sebeludm aku mati. Sekurang-kurangnya sebelum aku mati sekali seumur hidup ku aku tahu apa sebenarnya isi alquran bukan hanya sekadar khatam ‘membaca’ alquran.

Dalam aku membaca itu, sampailah aku kepada surah Ali Imran. Surah yang indah dan penuh cerita tauladan. Surah yang menceritakan tentang manusia agung terkenal seluruh alam di langit dan bumi iaitu Nabi Isa A.S. 

Namun apa yang menarik perhatianku adalah berkenaan dengan Nabi Zakaria yang berdoa kepada Allah untuk mendapatkan zuriat, setelah sekian lama berdoa lalu Allah menyutuskan malaikat bertemu dengannya untuk menyampaikan berita gembira berkenaan dengan doanya yang telah dimakbulkan Allah, iaitu zuriat. 

Dalam keadaan gembira namun masuh terpinga-pinga dengan pemberian Allah itu, nabi yang soleh telah bertanya kepada malaikat, bagaimana mungkin aku ini mempunyai zuriat lagi, aku ini telah tua dan uzur dan isteriku pula mandul. Lalu malaikat menjawab kekuasaan Allah itu tidak dibatasi dengan hal sedemikian. Nabi terus bertanya berikanlah aku petunjuk jika sedemikian, maka malaikat menjawab, kamu tidak akan bisa berkata-kata selama 3 hari berturut-turut dan kamu hanya mampu menggunakan bahasa isyarat. Dan ketika itu maka berzikirlah kamu kepada Allah di waktu pagi dan petang. Kemudian atas kehendak Azza Wa Jalla maka mengandunglah isterinya dan lahirlah zuriat mereka.

Berbalik kepada kisah ku, setelah aku membaca surah ini, aku sendiri merasa lapang dada. Ini adalah kerana aku ini tidaklah tua, isteriku pula tidaklah mandul, keadaan kami jauh lebih baik daripada keadaan nabi Allah tersebut. Namun jika Allah mengkehendakkan sesuatu maka Ia berkuasa menjadikannya “kun fa ya kun’. Jadi aku hanya bersyukur kepada Allah dan menunggu nikmatnya sampai.

Dalam masa yang sama aku tidak tahu dan tidak sedar sama ada isteri ku mengamalkan zikir-zikir yang dibacanya melalui buku tersebut, mungkin dia mengamalkannya diwaktu pagi dan petang atau sebaliknya. Aku tidak pasti. Yang pasti dia ada mengamalkan zikir-zikir tertentu seperti yang diberitahunya kepadaku. Aku biarkan sahaja dan teringat kembali tentang cerita dan tanda-tanda yang diberikan Allah kepada Nabi Allah tadi sambil berfikir, apakah zikir yang disuruh malaikat tersebut?

Masa berlalu dan akhirnya aku dikhabarkan oleh isteriku yang dia sudah lewat datangnya bulan, kami segera ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan alhamdulillah, isteri ku mengandung. Sebaik aku menerima perkhabaran ini aku kembali teringatkan surah Ali Imran tadi yang mana ibu kepada Siti Maryam berhasrat dan berkehendakkan anak lelaki namun yang lahir adalah Siti Maryam, dan Allah telah memuliakan Siti Maryam dan mensucikannya. Dalam pada masa ibu Siti Maryam itu mengandung, beliau telah bernazar kepada Allah untuk anak yang bakal dilahirkan menjadi pengkhidmat agama (nazar tu, ma fi bathni, muharraman).

Oleh kerana keajaiban ini berlaku kepada ku dengan rezeki Allah mengurniakan aku seorang anak lelaki, maka aku bernazar kepada Allah agar anak ku ini menjadi pengkhidmat agama kelak dan biarlah dia hidup dan mati kelak memperjuangkan agamanya. 


Itulah nazarku…semoga anak ini Aatif Azim menjadi salah seorang pejuang agama yang agung dan mati di jalan Allah. InsyaAllah!

Saturday, March 8, 2014

Mencari Kesempurnaan



Jauh dari sudut hatiku, aku hanya mahukan kehidupan yang ringkas dan sempurna. Aku mahukan kehidupan yang tidak terkejar-kejar dengan kesibukkan dunia, kehidupan bak kata adik ku ‘sebelum pukul 6 petang sudah boleh balik ke rumah bersama dengan keluarga’. Keluarga? ah itulah yang menjadi persoalannya sekarang, adakah aku mempunyai keluarga yang bahagia?

Kebahagian itu adalah sangat subjektif dan berbeza-beza mengikut penilaian masing-masing. Ada orang bahagia hanya ada wang, ada pula bahagia walaupun serba kekurangan, dan begitulah seterusnya. Tidak perlu aku menulis panjang, pembaca sendiri sudah boleh memahami maksudku.

Apa pula yang penting bagi seorang lelaki? Apatah lagi apabila lelaki itu sudah bergelar suami dan bapa, apa pula yang penting baginya? Persoalan demi persoalan bermain-main di dalam fikiranku. Aku masih mencari-cari jawapan hidup ini. Aku masih mencari-cari kesempurnaan. Puas aku mencuba pelbagai cara dan gaya, namun masih belum nampak hasilnya. Kesempurnaan itu masih terlalu jauh. Bersabar? sampai bila? Hanya Allah sebaik Perancang, kita hanya mencuba dan melakonkan kehendak takdirNya.

Isteri dan anak-anak itu segalanya? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Bergantung. Ada wang maka kita akan menjadi perlu dan penting? Mungking ada benarnya, mungkin tidak. Juga bergantung. Perkahwinan hanya untuk menghalalkan seks? ya tetapi bukan itu sepatutnya. JIka tidak untuk apa? Zuriat? Ya untuk zuriat, tapi apa guna zuriat jika asas hubungan suami isteri belum lagi kukuh, hasilnya anak-anak yang tidak berdisiplin dan tidak sempurnya juga. Ah! Jadi apa sebenarnya yang aku cari?!

Aku fikir bukan aku seorang yang menyoal tentang ini, banyak lagi manusia diluar sana seperti aku bertanya dan mencari-cari perkara yang sama. Kesempurnaan di dalam kehidupannya. Sudahkah mereka menemui kesempurnaan yang mereka cari? 

Malam ini aku keluar dari rumah mencari ketenangan sambil menulis. Duduk di rumah tidak memberiku ketenangan, ada kalanya seperti kera sumbang, ada kalanya rasa seperti sampah tidak berguna, ada kalanya hanya penting ketika wang diperlukan, ada kalanya hanya penting ketika memuaskan nafsu seks si dia. Itu kah kehidupan yang aku cari? Itukah maksud berkeluarga, tentu tidak tapi apa sebenarnya? Makan berteman? Tidur berteman? Kawan berbual?  Kawan berkongsi masalah? Kawan berkongsi kegembiraan? Tidak, aku tidak mendapatkan semua itu sekarang. Jadi apa yang aku perolehi dari perkahwinan ini? Apa? Apa? Aku tidak ada jawapannya, biarkan masa menjawap bagi pihak ku. Kerana masa tidak pernah menipu, yang benar akan ditunjukkan dan yang salah akan dipamerkan sepuas-puasnya. Aku amat percaya tentang itu atas pengalaman ku sendiri. Ya memang benar-benar berlaku. Musuhku hanya sabar, sama ada aku bersabar menanti jawapan yang bakal diberikan oleh masa atau tidak.

Sedikit itu sebenarnya banyak. Pernahkah kamu mendengar tentang itu? Ya itu amat benar, sememangnya sedikit itu sememangnya adalah banyak dan kadangkala segalanya. Aku berikan contoh, jika perkara kecil berulang-ulangkali disuruh atau diminta masih tidak juga dilaksanakan maka akhirnya akan menjadi besar. Jika perkara sekecil di dalam hubungan suami isteri tidak diambil berat lambat laun ia akan menjadi besar. Suami sebenarnya lebih sensitif dengan perkara-perkara kecil yang dilakukan oleh isterinya yang tidak berkenan dihati suami. Kerana sekilas perbuatan isteri sudah pasti memberi kesan kepada suami kerana suami sebenarnya memiliki isterinya dan sebagai wali isterinya, dia memahami luar dalam isterinya hatta setitik tanda pun di badan isterinya di dalam pengetahuan suaminya, apatahlagi perbuatan, perkataan dan diam isterinya. Bolehkah orang lain mengetahuinya selain suami sendiri? Sehinggakan ibu bapa si isteri tidak mempunyai pengetahuan seluas suami terhadap isterinya sendiri. Maka benarlah sabda Rasulullah Suami adalah lebih berhak ke atas isterinya dan ibulah lebih berhak ke atas suami itu. Kepincangan yang berlaku sekarang adalah isteri tidak mengutamakan hak suami tetapi melebihkan hak ibubapanya, maka jika hak suami tidak dipenuhi tidak mustahil hak ibubapa itu diabaikan juga oleh suami. Maka rosaklah struktir keluarga yang dituntut oleh Islam. Apakah solusinya? Perlukah suami meneruskan tanggungjawabnya terhadap ibubapa si isteri? Ya sudah tentu walaupun si isteri meletakkan suami sebagai sampah tidak berguna atau no 2 selepas ibubapanya. Demi Allah, hutang si isteri biarlah dia menjawabnya sendiri di hadapan Allah dan si suami tidak perlu mengikut berhutang seperti isterinya yang nusyuz.

Ya betul nafsu akan berkata jangan. Ya Islam sendiri ada memberi hukuman kepada isteri yang nusyuz iaitu tidak layak kepada nafkah. Bukan perlu kita menafikan hukuman Allah, bukankah hukuman Allah itu terbaik? Namun sabar itu juga penting dan dituntut. 

Isteri yang tidak mampu memberi ketenangan kepada suaminya, tidak mampu mengejukkan mata suaminya ketika memandang isterinya bukanlah isteri yang baik, simpanlah dia secara sabar atau lepaskanlah dia dengan ikhsan. 

Carilah isteri baru yang lebih kuat agamanya itu demi Allah lebih penting dari segalanya. Sangat benar kata-kata Rasulullah. Ada suatu kisah Abdullah Bin Omar, anak syaidina Omar sahabat Rasulullah yang baru berkahwin dengan seorang wanita cantik lagi baik akhlaknya sempurna imannya sebagai wanita solehah. Perkahwinannya bahagia, namun masih ada sesuatu yang tidak digemari oleh Saidina Omar, Abdullah sudah semakin kurang bersama di dalam majlis-majlis ilmu rasulullah. Itu tidak baik, walaupun sesempurna mana isteri Abdullah. Maka dipanggilnya Abdullah mengadap Omar, di hadapan Abdullah, Omar yang terkenal dengan ketegasannya memerintahkan Abdullah menceraikan isterinya. Ingat tadi hak ibubapa ke atas suami? Maka gusarlah Abdullah, termenung dia memikirkan perintah ayahnya. Beliau runsing dan tidak segera menceraikan isteri yang baik itu. Akhirnya, Abdullah fikir elok diadukan perkara ini kepada Rasulullah, maka dengan segera Abdullah berjumpa Rasulullah dan mengadukan perkara ini. Rasulullah dengan tenang bertanya benarkah Omar memerintahkan kamu menceraikan isterimu? Kenapa begitu? Abdullah yang taat menceritakan segalanya kepada Rasulullah, maka Rasulullah menjawab jika itulah sebabnya, jika isteri kamu yang baik sekalipun menyebabkan kamu alpa kepada agama kamu, maka penuhi tuntutan dan perintah ayahmu. Dengan sedih namun ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada perintah Rasulullah, Abdullah menceraikan isterinya.

Bersedihlah Abdullah setelah menceraikan isterinya, sekian lama keadaannya sedemikian sehingga Omar perasan akan keadaan anaknya. Maka sekali lagi anaknya dipanggil mengadapnya, kali ini Omar memberi syarat kepada Abdullah bahawa dia boleh berkahwin semula dengan wanita itu dengan syarat jangan sesekali meninggalkan tuntutan agama, majlis-majlis ilmu dan semua. Setelah Abdulllah memberi persetujuan dan berjanji maka berkahwinlah semula Abdullah dengan wanita solehah itu.

Pengajaran di dalam kisah ini adalah, wanita yang perlu dikahwini adalah wanita solehah yang sabar dengan perintah agamanya. Bayangkan jika wanita tadi bukan wanita solehah sudah tentu dia akan menghasut Abdullah mengingkari perintah Omar dan Rasulullah. Aku yakin wanita dan para isteri sekarang akan melakukan hasutan syaitan itu. Nerakalah bagi isteri seperti itu.

Pengajaran kedua, lihatlah walaupun betapa solehnya isteri Abdullah namun kepentingan agama sentiasa tidak dapat diletakkan di bawah hak isteri. Hak bapa ke atas suami masih tertertinggi daripada hak isteri. Lihat bagaimana Islam meletakkan hak di tempatnya. Isteri di bawah suami, suami di bawah ibu (ibubapanya) dan Ibubapa (bahkan semua umat manusia) dibawah perintah Allah dan RasulNya. Jika hieraki ini tidak dituruti dengan baik maka hancurlah struktur keluarga itu. Jangan pula kita fikir suami akan menjadi ego dan berkuasa melakukan apa sahaja semahunya ke atas isteri kerana suami juga tertakluk kepada ibubapanya dan ibubapa pula tidak boleh sewenang-wenangnya memerintah suami kerana tertakluk kepada agamanya.

Jika isteri gagal mematuhi suaminya maka layakkah suami memberi hak isterinya? tentu sekali tidak. Jika suami gagal mematuhi ibubapanya atau ibubapa mertuanya maka layakkah agama melindungi suami itu? Tentu sekali tidak.

Apabila nikah dilafazkan maka si bapa kepada isteri telah menyerahkan anaknya kepada suami dan keluarga suami, si isteri telah memasukki keluarga suaminya atas sebab perkahwinan itu. Bukannya suami masuk ke dalam keluarga isterinya. itu songsang, amat songsang. membawa kehancuran akhirnya.

Akhirnya dunia ini sudah terlalu tua untuk kembali teratur seperti sepatutnya, makhluk bernama manusia yang mengaku Allah itu Pencipta mereka pula sebenarnya telah lupa dan kufur dengan tuhan mereka. Kehancuran sudah tidak dapat dielakkan lagi. Sistem nilai individu, keluarga dan masyarakt sudah hancur tanpa kita sedari, zaman ini bakal berakhir dan beralih ke zaman yang lebih bercahaya seperti janji Rasulullah. Tapi sebelum itu segala munafiq dan fasiq akan dihancurkan terlebih dahulu…WaAllahu a’lam.




Tuesday, February 18, 2014

Dunia Penuh Kepentingan Diri Sendiri-samb ke 2

Sabaik keluar daripada pejabat DO Tapah, saya terus menngingatkan wan untuk segera menaiktaraf enterprise tersebut kepada syarikat sendirian berhad. Perkara ini juga pelik kerana menurut seoarng pegawai di dalam PTD perkara ini sudah lama dimakumkan kepada pihak PKNP tentang ketidaklulusan pemberian kepada syarikat berstatus Enterprise. Namun menurutnya pihak PKNP tidak mengambil sebarang tindakan, saya fikir perkara ini adalah kerana ‘dealing’ dalaman pihak kerabat itu atau yang kami panggil pak ungku.

wan berjanji akan mendaftar segera sebuah sendirian berhad dan saya telah maklumkan kepada wan jangan gunakan nama lain tetapi nama yang sama juga supaya fail tidak perlu dibuka semula dan jika ini berlaku maka segala proses akan menjadi sia-sia. dalam masa yang sama PTD juga memerlukan surat daripada PKNP yang mengakui entiti baru tersebut dan menerimanya seolah-olah syarikat enterprise yang sama. 

wan berjaya mendaftarkan syarikat tersebut dalam tempoh 3 hari dengan kos sendiri, kami tidak dimaklumkan tentang sumbernya. tetapi bagi saya sepatutnya kos untuk menaiktaraf syarikat adalah di bawah tanggungjawab pak ungku bukannya kami oleh kerana kami hanyalah sebagai operator. dalam masa yang sama pak ungku memaklumkan kepada kami bahawa CEO PKNP berada di singapura dan akan balik dalam tempoh sehari dua. setelah mendapat dokumentasi daripada wan berkenaan dengan syarikat baru tersebut maka saya dan hassan segera ke PTD untuk menyerahsimpan rekod, tetapi pada masa itu surat PKNP masih belum diperolehi maka pegawai PTD meminta kami menyerahkan kesemua dokumen sekaligus. kecewa dengan ketidakterimaan PTD tersebut saya sekali lagi mendesak wan untuk mendapatkan surat PKNP tersebut dan pada masa itu sepatutnya CEO PKNP sudah pun balik daripada singapura. kononnya hanya CEO PKNP sahaja yang boleh menandatangani surat tersebut.

CEO yang kononnya sepupu atau sangat baik dengan pak ungku tidaklah sedemikian adanya. dari 3 hari telah membawa kepada 3 minggu dan surat mudah sekeping masih gagal diberikan oleh pak ungku kepada kami dan wan pula memberi pelbagai alasan dei alasan. saya sendiri kerap berkomunikasi dengan pekerja-pekerja pak ungku namun jawapan hanya sama iaitu biarlah pak ungku ‘deal’ sendiri dengan CEO lebih cepat daripada masuk seperti biasa ke pegawai bawahan PKNP. setelah hampir 4 minggu saya mula hilang sabar dan terus ke pejabat pak ungku, beliau tidak ada atau tidak mahu berjumpa bersembunyi di dalam bilik. ah pedulikan dia dulu, yang penting saya dapat surat daripada PNKP tersebut. di takdirkan tuhan ada seorang pekerja di pejabat pak ungku yang mungkin jujur atau lurus tidak pandai menipu terpinga-pinga apabila saya bertanyakan tentang surat PKNP tersebut. dia terus membawa keluar fail projek dan mencari-cari samaada ada atau tidak surat daripada syarikat pak ungku kepada PKNP memaklumkan status dan meminta surat peniktirafan PKNP. alangkah terkejutnya saya apabila mendapati surat daripada syarikat pak ungku sendiri pun masih belum dihantar bagaimana mungkin PKNP tahu status dan apa keperluan kami. dengan sinis dan marah saya menawarkan diri menaip surat bagi pihak syarikat pak ungku. setelah siap saya emelkan kepadanya. namun apabila pekerja seniornya sampai beliau tidak menggunakan deraf teresbut dan menulis semual keseluruhannya. itu bukan menjadi hal bagi saya yang penting surat telah dibuat. baiklah selesai satu perkara pada hari itu dan saya balik ke rumah untuk menunggu. 

esoknya saya bertanya sama ada surat semalam sudah di hantar ke PKNP atau belum, mereka menjawab masih belum atas alasan pak ungku akan menyerahkan sendiri surat tersebut kepada CEO PKNP. wah mereka sememangnya mencari-cari alasan melewatkan-lewatkan perkara in.

hari berikutnya jawapan yang sama juga diberikan. kali ini saya dalam cubaan bersabar menawarkan diri untuk membantu diperingkat PKNP dan berjumpa CEO. PKNP bagi ku bukannya asing sangat saya sudah lama dan kenal sepak terajang mereka. dengan nada sinis pengurus pak ungku menjawab, ‘kalau you boleh cakap dengan dato CEO, silakan’. budak mentah ini masih belum mengenal orang, saya biarkan sahaja, namun saya nasihatkan dia bahawa manusia semuanya sama, dato ceo bukannya dewa kayangan pun dan saya yakin kalau kita berbincang secara baik-baik dato ceo akan faham permasalahan kita.

hari demi hari perkara sama juga tidak ada sebarang tindakan..hanya untuk mendapatkan surat sekeping kini sudah memakan masa lebih 4 minggu, wan pun sudah semakin tidak menjawab telefon dan sms. segala aktiviti projek tidak disampaikan kepada kami. kami dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang maklumat. 


akhirnya kesabaran ku hilang. saya terus ke PKNP dan namun kesemua mereka sibuk (seperti biasa pekerja kerajaan). saya sempat mendaptkan maklumat PA dato dan menghubungi beliau. beliau mencadangkan saya menulis emel kepada dato permintaan untuk berjumpa dan tujuan untuk berjumpa. saya tanpa membuang masa terus menulis emel panjang lebar dan memohon untuk suatu temujanji…..bersambung

Monday, February 17, 2014

Dunia penuh kepentingan diri sendiri-samb

kami sampai di Ipoh agak lewat malam kerana urusan mengeluarkan wang seperti yang diminta oleh Kerabat tersebut, sebaik sampai kami tidak terus ke pejabatnya memandangkan pejabatnya telah pun tutup sebaliknya kami hanya duduk minum di kedai mamak di belakang pejabatnya. 

Sebelum itu aku dan rakan berulang kali memesan kepada rakan kongsi ku yang baik dengan kerabat itu untuk mengambil resit dan menandatangani perjanjian dengan kerabat tersebut. setelah peringatan diberikan maka wang pun diberikan kepada rakan kongsi ku itu untuk diserahkan kepada kerabat tersebut. 

setelah semua duduk minum rakan kongsi ku di panggil oleh kerabat tersebut untuk berbincang berdua dan membuat penyerahan wang di dalam kereta kerabat tersebut yang diparkir hanya dibelakang tempat kami duduk diluar kedai mamak tersebut. hanya mereka berdua sahaja yang pergi, kami semua tidak turut serta.

setelah selesai sesi penyerahan maka rakan kongsi ku dan kerabat tersebut kembali ke meja dan duduk minum dan makan ringan. katanya dia ingin menunggu seorang lawyer dan pegawai pknp. sambil memberi isyarat kerabat tersebut mengsarahkan kami agar tidak membincangkan perkara pembelian tapak tersebut dihadapan lawyer dan pegawai PKNP tersebut. entah kenapa aku tidak faham tujuannya ketika itu, namun kini aku faham bahawa beliau takut rahsia kejahatannya mengambil wang daripada pihak ketiga menjual site tersebut terbongkar. 

setelah selesai aku kembali ke KL pada malam itu juga dan kami bersedia untuk menjalankan kerja-kerja sepatutnya memulakan operasi, kami merancang dan membahagikan tugas masing-masing.

masa berlalu begitu cepat, sedar tidak sedar sudah lebih 5 bulan berlalu permit dan docket masih belum diperolehi. sementara tempoh itu aku dan hassan, rakan kongsi ku yang setia berada di Tapah dan Ipoh menguruskan segala kehendak kerenah birokrasi termasuklah Jabatan Geosains bagi mendapatkan laporan makmal, laporan makmal itu sangat penting kerana jika pasir dari kawasan tersebut mempunyai kandungan silika melebihi 95 % maka ia akan dikategorikan sebagai silika dan permohonan hendaklah berdasarkan permit melombong di PTG Ipoh, itu tidak mengapa, yang lebih menakutkan adalah docket akan menjadi lebih daripada RM3 satu tan untuk pasir kepada RM7.50 untuk satu tan silika. 

Maka hampir setiap hari aku dan hassan berulang alik ke Geosains, kadang-kadang sehingga 2 kali sehari bagi memaksa laporan Geosains dikeluarkan awal. Wan, rakan kongsi ku yang baik dengan kerabat itu berada di KL dan sekali sekala turun ke Ipoh namun terus bertemu dengan Kerabat itu, entah apa kerja lain yang mereka lakukan aku tidak peduli. akhirnya setelah hampir 2 minggu laporan terebut siap, itu pun setelah diberitahu oleh salah seorang pegawai di dalam Geosains. aku dan hassan bergegas ke Geosains dengan gembiranya. sebaik sampai seperti biasa kami perlu mendaftar diri di pondok pengawal. kami lihat di dalam buku daftar pelawat ada nama wan dan no keretanya. ah, kenapa dia tidak memberitahu kami yang dia akan turun. tidak mengapalah. aku pun menalifon wan dan dia beritahu dia sedang berada di dalam bilik pengarah. baiklah, fikirku tidak perlu lagi kami beramai-ramai ke bilik pengarah, akan nampak tidak professional. aku dan hassan memutuskan hanya menunggu di kantin bersama anak saudara wan dan seorang pegawai geosains. kami menunngu wan di situ sambil melayan pegawai geosains tersebut dan seorang lagi pegawai baru. tidak lama kemudian, wan pun turun bersama dengan laporan goesains yang ditunggu-tunggu, alhamdulillah syukur kepada Allah laporannya memutuskan kandungan silika hanya 91.1%.

dengan laporan tersebut kami terus ke tapah menyerahkan laporan kepada DO Tapah. sebaik menyerahkan laporan geosains, ujian Allah timbul lagi. kali ini kami dimaklumkan bahawa PTD Tapah sudah sedari awal tidak mengizinkan permit dikeluarkan atas ‘enterprise’ tetapi kepada sekurang-kurangnya kepada syarikat sendirian berhad. ini bermakna syarikat kerabat enterprise tersebut perlu dinaiktaraf kepada sendirian berhad.


maka disinilah bermulanya pengkhianatan maha dasyat manusia-manusia bertuhankan duit ini….bersambung

Tuesday, February 4, 2014

Dunia penuh kepentingan diri sendiri

aku meninggalkan profesyen ku lebih setahun yang lalu untuk menceburi bidang yang amat berbeza daripada amalan kebiasaaanku sejak 13 tahun lalu, hanya untuk mencuba kehidupan lain dan atas alasanku sendiri.

di dalam dunia ini segalanya penuh kasar dan lebih sengit, aku mula mengenal erti sebenar kehidupan diluar sana, kehidupan manusia sebenar yang baik dan yang tidak baik. sahabat yang dahulunya baik boleh bertukar menjadi dinasor ganas hanya untuk menjaga kepentingan peribadi. wang menjadi dorongan segalanya kaum ini. penipuan lebih mudah berlaku dengan jelas.

setelah setahun berkecimpung didalam dunia perniagaan pasir aku mula berani memulakan langkah seterusnya dengan membuka satu lagi kawasan perlombongan di Perak. disinilah bermula cerita seorang sahabat menjadi seteru. aku sendiri tidak pasti sama ada akukah yang kasihan terhadapnya atau dia yang kasihan kepadaku apa mula-mula aku membawanya masuk melihat-lihat kerja-kerja perlombongan di tapak ku sebelum segalanya bermula. yang pasti aku berkata kepadanya untuk dia mencari kawasan baru untuk aku dan dia bersama-sama mengusahakannya kelak. sebenarnya pada ketika itu dia baru berpindah keluar dari Perak kerana gagal di dalam perniagaannya. dia nampak teruja dan bersetuju mencari tapak baru.

di situlah dia mula menghubungi kawannya seorang kerabat di Perak, aku tidak mengenali namun atas kenyakinan yang diberikan oleh kawanku bahawa kerabat ini kawannya dari kecil maka aku bersetuju. setelah dia memaklumkan kepadaku bahawa dia telah mendapat kawasan daripada kawannya kerabat itu. maka aku mula mengumpulkan kumpulan untuk bergerak mengusahakan tapak baru tersebut. maka terkumpulah 6 orang kesemua. masing-masing dengan bidang tugas masing-masing.

perjumpaan diadakan bagi berjumpa kesemua orang dan berbincang tentang terma-terma perkongian. termanya adalah mudah 2 orang akan mengeluarkan modal awal yang mana akan dibayar kembali setelah projek mula mengeluarkan hasil, dua lagi akan menjaga operasi dan akhir aku dan kawanku akan menguruskan urusan-urusan rasmi dan membantu operasi kelak. setuju!

aku, kawanku dan seorang lagi rakankongsi tadi mengadakan perjumpaan dengan kerabat itu. itulah kali pertama kami bertemu. di dalam perjabatnya, perbincangan mudah, dia mengaku bahawa sebgai pemegang permit segalanya telah tersedia, permit segalanya sudah ada! namun dia mengakui bahawa dia telah mengambil wang daripada seorang Cina namun masih belum menandatangani apa-apa perjanjian, jika kami membayarnya wang maka wang kami akan dipulangkan kepada cina tersebut dan tapak tersebut akan menjadi milik kami. permintaan kerabat tersebut adalah jumlah wang sebanyak RM100,000-00. bayaran sebanyak rm80k dahulu dan baki rm20k semasa mahu mengambil docket. dan rm1.20 untuk setiap satu tan yang dijual. kami telah meminta sahabatku untuk memohon agar bayaran awalan tersebut dikurangkan kepada rm50k sahaja baki akan dibayar kemudian.

balik ke KL aku mengambil wang tunai sebanyak RM65k, rm50k diberikan kepada sahabatku ....(bersambung)

Saturday, February 1, 2014

Kangkung vs Satey Kajang

politik malaysia semakin hari semakin lawak. kalau dibaca oleh orang luar pasti mereka akan gelak sehingga berguling-guling. tetapi itulah tahap politik malaysia. saya pernah satu ketika dahulu berbual dengan rakan sekelas yang sudah menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah sebuah GLC hartanah. menurut beliau pernah satu menteri menghalang GLCnya untuk memajukan kawasan parlimen pak menteri tersebut kerana takut kawasannya akan menjadi terlalu maju dan sukar baginya mengawal pengundi kelak. wah sehingga begitu sekali pemikiran ahli politik ini rupanya. sanggup membiarkan kemunduran demi mengekalkan kuasanya. ini tidak berlaku kepada sebelah pihak sahaja, cerita ini menyebabkan saya teringat kepada ahli politk di pantai timur yang juga pernah menyeluarkan kenyataan biarlah 'k*******' ini mundur jika kemajuan yang mahu dibawa tidak berlandaskan islam. adakah islam itu mundur? atau adalah mundur menjamin lebih islami? saya sendiri tidak pasti. mereka lebih arif menjawabnya.

cerita-cerita pelik politik ini selalu kita dengar, kadang-kadang kala tidak sanggup kita percaya. tapi inilah hakikatnya politik malaysia. ada cerita lain mengenai sakit, ada ahli politik vateran pula pura-pura sakit kerana mahu orang datang berjumpanya. mungkin rindu dikelilingi oleh pengikut dan diampu seperti dulu. betullah, kuasa itu suatu ketagihan.

hal rumahtangga cerai berai pula sudah menjadi lumrah dunia politik, seks dan skandal menjadi kebiasaan. adakah isu cerai juga teknik terkini meraih populariti setelah sekian lama menyepi tanpa sebarang isu yang baik untuk dibawa? entahlah. mungkin betul hal rumahtangganya dicampuri orang luar namun secara tidak langsung juga keuntungan populariti bakal diraih pelakon polotik.

dulu saya juga pernah melihat ahli bahagian yang menangis teresak-esak di atas pentas semasa mesyuarat bahagian. berjuang dan menjerit demi perjuang yang kononnya ikhlas. namun sebalik itu semua, perempuan dan projek habis disapu kiri dan kanan. perjuangan entah ke mana, rakan baiknya sendiri dibuang begitu sahaja. itulah politik, bagi yang mahu mengenalinya.

selamat datang ke Malaysia, dimana kangkung dan satey semakin popular!

Friday, January 31, 2014

Menjawab atau berdiam?

pagi ini cuti buat satu Malaya kerana cuti sambutan tahun baru cina. sejak semalam aku sudah merancang untuk membawa anak-anakku berkelah sambil makan-makan. pagi-pagi sambil mandi fikiranku sudah mula merancang apa yang bakal dibeli untuk memasak sambil mandi-mandi nanti, ingat tentang khemah kalau ada lebih baik senang anak-anak kecilku bermain-main di dalamnya nanti, ingat tentang si abang mesti dia suka mandi sungai, ingat nak cari 'port' yang redup untuk selesa, dan macam-macam lagi. selesai mandi terus mencari isteriku ingin memberitahu tentang rancangan difikiranku. dia sedang membuat air minum pagi, sambil menghampirinya aku memberitahu "sayang jom..." "jom gi mana?", jawab isteriku. "picnic", balas ku ringkas. "ah mengarutlah, bebudak baru baik demam, susahlah bawa bebudak kecil, panas-panas pulak tu, baik bawa gi Jusco jalan-jalan", pintas isteriku. aku terdiam..sambil rasa agak kecewa...

sambil agak kecewa aku keluar dari rumah untuk membeli sarapan dan susu anak-anak yang sejak dari semalam dipesan isteri untuk dibeli. selesai membungkus makanan dan membeli susu, sms berbagai masuk ke dalam inbox ku, ahh..daripada isteri ku.. mungkin dia perasan yang aku agak kecewa dengan penolakkannya. aku biarkan dulu malas nak menjawab. aku segera balik untuk menghantar makanan dan susu anak-anak, kemudian tanpa sebab untuk duduk lagi di rumah dan bagi mengelak aku melepaskan rasa kecewaku, aku keluar semula mencari kedai mamak berdekatan rumah untuk sarapan sambil membuat sedikit kerja menggunakan wifi percuma.

selesai minum, aku menghubungi kawan untuk ke pejabatnya bekerja di sana dalam keadaan yang lebih selesa.

perempuan dijadikan tuhan rapuh dan pendek akalnya..niat yang baik selalu disalaherti atau ditentang tanpa usul periksa. apalah salahnya jika dijawab dengan tenang penuh kasih sayang berbincang untuk mencari solusi terbaik. sebetulnya sabar itu penting dan iman itu segalanya.

hargailah kebaikkannya dengan itu boleh melupakan keburukkannya...selamat bercuti semua.

Melawat sahabat lama

hari ini cuti sempena sambutan tahun baru Cina, saya mengambil kesempatan melawat sahabat lama di Ipoh. Kebetulan hari ini adalah hari Jumaat, kami sempat bersolat Jumaat bersama di sebuah Masjid di Ulu Chepor. Masjid lama yang sederhana besar agak penuh dan sesak pada hari ini, mungkin ramai yang balik bercuti di kampung.

selesai solat kami kembali ke pejabat beliau, tempat di mana kawanku ini bertapa rupa sejak sekian lama sejak mengasingkan diri daripada dunia penuh glamor dan professional. Pejabatnya sederhana besar tetapi cukup selesa dengan segala kemudahan yang ada. Saya agak terkejut dengan cara pemikirannya kini apabila beliau kini telah banyak mengkaji alQuran dan mendalaminya. Banyak perkara yang kami bincangkan tentang isu-isu semasa, kajian ayat-ayat alQuran. Sebenarnya beliau berasal daripada keluarga ternama di dalam bidang agama jadi tidak hairanlah jika 'genetik' sedia ada di dalam dirinya diusik dan bangkit kembali. Asas pelajaran agama yang kukuh menjadi pembantu terbaik dalam mencari kembali dirinya.

Saya tidak mampu untuk mengikut jejaknya dan alQuran masih lagi jauh untuk dihabiskan walau sudah sekian lama saya berhasrat untuk berehat daripada kesibukkan dunia dan bersama keluarga dan alQuran. Sebenarnya terlalu banyak ilmu dan hikmah alQuran yang masih belum diterokai lagi. InsyaAllah satu hari nanti cita-citaku ini akan tercapai jua.

Hari ini politik, budaya dan sekeliling kita sebenarnya amat jauh daripada apa yang dituntut oleh alQuran. Kalaulah semua umat Islam di Malaysia ini membaca alQuran dan memahami isi kandungannya maka politik Malaysia tidak akan seterus dan sejijik sekarang. Yang pandai agama menjualnya demi kepentingan masing-masing, para pengikut taksub pula tanpa perlu menggunakan otak mengikut membuta tuli. Malahan ada pula yang melebihi dari pandai agama. Si pandai agama pula membiarkan sahaja asal pengikut menyokongnya.

Dunia oh ini semakin gila....

Thursday, January 30, 2014

Aku ingin berkata-kata

telah puas aku melihat telatah manusia di sekelilingku, maka mulai hari ini aku ingin berkata-kata meluah isi hati dan pendapatku.